+1 (800) 456 37 96

Latar Belakang

Pendahuluan

Alumni merupakan aset penting yang tidak ternilai harganya dan boleh menjamin kelestarian masa depan UMT. Alumni adalah sekelompok kecil “bekas pelajar” yang telah bersama kita, mendapat pendidikan dan pengetahuan daripada kita dan kini telah menjadi warga negara berkedudukan. Banyak universiti terkehadapan, mempunyai system alumni yang baik dan mendapat “dana pembiayaan” untuk penyelidikan dan pembangunan daripada alumninya. Pada prinsipnya, kita perlu memberikan perhatian yang serius dan memperkasa jaringan alumni kita untuk masa depan yang lebih cemerlang.

UMT merupakan universiti muda yang baru berusia melepasi 10 tahun. Oleh itu masih belum terlambat jika kita mengambil kesempatan untuk mengenali setiap individu alumni dan mengukuhkan jaringan universiti dan alumni. Beberapa langkah strategik perlu diambil sebaik sahaja individu pelajar menjejakkan kakinya di UMT. Di samping kita mempunyai pengkalan data yang lengkap mengenai setiap alumni, kita juga perlu mengatur program yang melibatkan “bakal alumni” (pelajar semasa), alumni muda (mereka yang baru bergraduat dan membina kerjaya), dan alumni matang (mereka yang telah berjaya dan menempa nama). Pelbagai jenis program boleh diperkenalkan, termasuk mewujudkan beberapa bentuk dana pembiayaan untuk zamalah, penyelidikan dan kebajikan pelajar.

Alumni UMT

Alumni UMT bermaksud mereka yang pernah belajar di Universiti Malaysia Terengganu, Kolej Universiti Terengganu(KUT) dan Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).

Sejak tahun 2003 sehingga ke hari ini, UMT telah mempunyai seramai 27,097 orang Alumni. Kelompok besar ini adalah aset yang sangat berharga kepada universiti untuk bersama-sama merencana dan memacu perkembangan Universiti.

Oleh itu, Pihak Pengurusan Tertinggi UMT melalui Mesyuarat Pengurusan Universiti yang telah bersidang pada 13hb Disember 2017 telah bersetuju meluluskan penubuhan Pusat Alumni UMT yang bernaung di bawah pentadbiran Timbalan Naib Canselor (HEPA) berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018. Dengan penubuhan Pusat Alumni UMT ini, ianya akan memainkan peranan dalam mengukuhkan jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang ada alumni UMT. Kerjasama ini dalam bentuk penawaran tempat latihan industri kepada pelajar UMT, menawarkan peluang kerja kepada alumni UMT dan juga menghulurkan sumbangan kewangan dan kepakaran kepada alma mater.

Struktur organisasi pusat yang lebih khusus memudahkan usaha menjejaki alumni di luar sana untuk kembali menyumbang kepakaran, idea, kewangan dan kasih sayang kepada tempat belajar mereka. Sumbangan alumni boleh diperluaskan lagi untuk endowmen, wakaf dan sebagainya. Penubuhan Pusat Alumni ini juga dapat melaksanakan program lanjutan kepada alumni UMT. Ini bermakna, kecaknaan UMT kepada alumni sentiasa menjadi keutamaan. Pelbagai program akan dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan dan rasa kecintaan kepada alma mater. Di samping itu, pengwujudan pangkalan data alumni membolehkan Pusat menjejaki Alumni itu sendiri.

Pusat Alumni akan terus menyokong dan membantu universiti bagi melahirkan graduan yang serba boleh, berketrampilan dan mampu bersaing di peringkat global. Pencapaian matlamat ini memerlukan sokongan kewangan dan tenaga kerja yang mantap melalui perkongsian dan pemuafakatan berterusan antara alumni dan universiti. Pemerkasaan alumni melalui penubuhan Pusat Alumni UMT diyakini dan berkemampuan untuk memperkukuhkan halatuju portfolio Alumni Universiti Malaysia Terengganu.