+1 (800) 456 37 96

Aluan Pengarah

Bismillahirrahmanirrahim dan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan hidayah-Nya saya diberi penghormatan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk memegang amanah sebagai Pengarah Alumni UMT yang pertama dan kesempatan ini sukacita saya ingin menyampaikan salam mesra kepada komuniti alumni UMT di laman sesawang Pusat Alumni UMT.

UMT amat berbangga dapat melahirkan ramai alumni yang cemerlang dan berjaya dalam pelbagai bidang didalam sektor kerajaan atau swasta, ada diantara mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan. Saya penuh yakin, pengalaman pembelajaran serta ilmu yang diperolehi oleh setiap alumni di UMT adalah aset yang amat berharga dalam mereka merancang dan mengharungi cabaran kehidupan pada masa kini.

Seterusnya, saya berharap agar komuniti alumni UMT dapat menyumbang bakti kepada UMT dan menjadikannya sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan kemahiran selepas bergraduat agar sesuatu yang bermanafaat itu dapat dikongsi bersama para mahasiswa/mahasiswi UMT yang merupakan bakal alumni. Kami sentiasa membuka pintu kepada alumni untuk memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan modal insan mahasiswa/mahasiswi dalam usaha kita bersama-sama membawa kecemerlangan akademik dan sahsiah kepada mahasiswa/mahasiswi yang akan menjadi tunjang masa hadapan Negara tercinta ini.

Justeru itu, kami di Pusat Alumni UMT sentiasa menyampaikan berita-berita perkembangan terbaru dan kejayaan-kejayaan UMT kepada komuniti alumni, saya menyeru para alumni sekalian untuk membantu mengemaskini maklumat anda di e-Alumni (http://alumni.umt.edu.my/signin.htm) agar perkara ini dapat direalisasikan dan seterusnya membuktikan bahawa UMT mempunyai maklumat alumni yang kukuh dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. Data Alumni berpusat dengan kepelbagaian aplikasi yang boleh dicapai dengan mudah oleh alumni UMT akan diwujudkan bagi mengeratkan lagi hubungan diantara UMT dan Alumni UMT.

Pusat Alumni UMT dengan kerjasama yang erat dari Persatuan Alumni UMT merencanakan pelbagai program yang melibatkan alumni dan bakal alumni agar semangat kekitaan dan kecintaan kepada UMT dapat dilestarikan bersama semangat budaya berbakti alumni. Semangat ini akan menimbulkan perasaan rindu untuk kembali ke kampus setelah bergraduat dan tentunya jalinan hubungan yang padu dengan UMT dapat dikekalkan sepanjang masa.

Saya dengan sukacita dan berbesar hati menjemput alumni bersama-sama memberi komitmen yang berterusan, menyumbang, mengembleng tenaga untuk membina kekuatan memartabatkan UMT sebagai sebuah universiti berfokus kelautan terunggul dalam negara dan disegani diperingkat global.

Semoga budaya menyumbang dan berbakti kepada UMT khususnya dan masyarakat amnya akan dapat diteruskan dan saya berdoa semoga kegemilangan UMT terus berkekalan dengan sokongan padu para alumni sekalian.

Sekian, wasallam.

“KAMI CAKNA, KAMI SAYANG”

 

PROFESOR MADYA TS. DR. MOHAMAD ROSNI OTHMAN
Pengarah Pusat Alumni UMT